Wednesday, June 8, 2011

X - Factor Kembali


Keratan Akbar Harian Metro

KETIKA lima anak muda ini disatukan dalam kumpulan yang dinamakan X-Factor, semuanya masih muda remaja. Belum mengerti sepak terajang dunia seni, mereka hanya tahu mahu menjadi penyanyi. Syed Affendi Syed Ibrahim (Fendi), Zachery Francis Ubu (Zack), Iwan Shah Azhar (Shah), Mohd Kardanie Anwa (Danny) dan James Vernon Burge (Ivarn) adalah kumpulan penyanyi lelaki pertama yang dilahirkan oleh KRU Records. Masa berlalu, Fendi dan Ivarn pergi meninggalkan Zack, Danny dan Shah. Ivarn, kemudiannya memeluk agama Islam dengan menukar namanya kepada Hafiz. X-Factor pernah popular dengan lagu Sehangat Api, 7231564, Sehingga Ke Akhir Hayatku, Kau Tetap Nombor Satu, Masih Mencari dan Tiada Sesempurnamu.

Berkuburnya kumpulan itu pada 2003, mereka membawa haluan masing-masing di mana Zack menukar kerjanya kepada lakonan, Danny terbang di langit biru sebagai pramugara dan Shah pula bersama isteri, Sharifah Fairuz Al-Jamalullai, membina hidup baru di Australia. Mereka bertiga masih akrab namun ketika itu belum ada usaha untuk 'menghidupkan' semula X-Factor. Apabila Shah kembali menetap semula di tanah air pada 2009, membuak semula perasaan mereka untuk tampil menghiasi pentas nyanyian. Menerusi syarikat milik isteri Shah, Fayrusha Entertainment, mereka kini hadir dengan single berjudul Aura Membara, lagu ciptaan Kozac. Mereka juga baru menyiapkan klip video lagu itu yang dirakamkan di Clark Hatch Fitness Centre terletak di Cap Square , Jalan Bukit Bintang dan Damansara.
Ketika di temui di lokasi penggambaran klip video itu, Danny, Zack dan Shah kelihatan begitu bersemangat. Walaupun hanya menggunakan bajet kecil, mereka tetap mahu melakukan yang terbaik khusus untuk peminat yang amat merindui kelibat mereka sebagai satu kumpulan yang diminati ramai hampir lapan tahun lalu. Menurut Danny, mereka 'menguji' peminat menerusi laman Facebook sama ada X-Factor masih diingati atau tidak.

"Respon yang diterima cukup baik, itu yang membuatkan kami terfikir semula untuk merakamkan single. Shah yang paling berkobar-kobar kerana dia yang lama menetap di Australia mahu kembali menyertai dunia seni. Saya dan Zack walaupun tidak menyanyi tetapi kami masih aktif sebagai pelakon dan pengacara. "Saranan Shah itu kami sambut dengan hati terbuka dan lama juga kami merancang. Pun begitu dek kerana masing-masing sibuk, baru sekarang kami dapat merakamkan single ini. Bajet tak besar namun semangat dan keyakinan yang tinggi menjadikan impian ini satu kenyataan. Untuk menghasilkan klip video ini pun, kami menggunakan khidmat kawan-kawan. "Kami menggunakan kamera 5D Canon Mark 11 dan tanpa bantuan peralatan tambahan yang lain. Hanya menggunakan cahaya semula jadi. Kami menggunakan dua bakat baru untuk menceritakan jalan cerita lagu itu - Danish Zakwan dan Noi Zulhijjah. "Muzik sekarang pun sudah banyak berubah, lantaran itu konsep lagu ini juga lebih condong ke arah K-Pop yang menjadi kegilaan pendengar muda hari ini. Kami turut menamakan projek ini sebagai Projek X," katanya.

Zack pula berkata, sekian lama tidak merakamkan, rasa kekok memang ada. "Tak sempat hendak berlatih vokal kerana saya sentiasa sibuk di lokasi penggambaran. Masa di studio, kami asah semula suara yang hampir 'berkarat' ini. Lagu ini mengisahkan si dia mencari kekasihnya yang lama menghilang. "Trend sekarang, penyanyi keluarkan single saja kerana buat album penuh pun tak laku. Dengan adanya lagu baru ini, kami sudah bersedia untuk bergerak semula bertemu peminat. KRU pun tidak pernah menghalang kami untuk terus menggunakan nama X-Factor dan menyanyikan lagu dalam semua album terdahulu. "Kenalah saya menyusun semula jadual berlakon untuk membuat persembahan bersama X-Factor. Senaman pun terpaksa digiatkan lagi untuk menambahkan stamina," katanya. Shah juga tidak sabar semula untuk beraksi depan peminat. Katanya, walaupun selepas X-Factor dibubarkan dan dia menetap di perantauan namun sukar baginya untuk melupakan bidang nyanyian begitu saja. "X-Factor masih ada peminat dan mereka pun teringin hendak melihat persembahan kami bertiga. Namun hati tetap berdebar, apakah kami boleh menyanyi dan menari sebaik dulu kerana masing-masing semakin berusia. Dulu masa mula kumpulan ini ditubuhkan Danny baru 19 tahun, Zack pula 21 tahun dan saya sendiri 20 tahun," katanya.



Video Part 1




Video Part 2



Video Part 3





Terus Menyokong X-Factor !!!!! untuk terus kehadapan!!!

No comments:

Post a Comment