Thursday, June 16, 2011

KRU Fokus Belakang Tabir


TAHUN ini genaplah 19 tahun usia penglibatan KRU dalam industri seni tanah air. Bermula hanya sebagai sebuah kumpulan nyanyian yang diasaskan oleh tiga orang adik-beradik, Norman, Edry dan Yusry Abdul Halim, kini, empayar yang dibina mereka semakin besar.

Tidak hanya berfungsi sebagai syarikat rakaman, tetapi juga KRU kini memiliki beberapa anak syarikat seperti KRU Media Sdn. Bhd. dan KRU Studio. Ibu pejabat yang dulunya terletak di lot tepi daripada deretan rumah kedai di Setiawangsa, Kuala Lumpur kini berpindah ke ibu pejabat di Cyberjaya yang mula beroperasi pada 1 April 2010.

Mengenang kembali perjalanan KRU, Norman memberitahu, jenama KRU bermula dengan modal RM2,000. Ketika itu wang tersebut digunakan untuk menerbitkan album pertama mereka yang berjudul Canggih bersama syarikat rakaman EMI.

"Kejayaan bukan datang bergolek, sepanjang 19 tahun kami dalam industri, bukan sekali dua kami dihambat kontroversi, diuji pelbagai cara sehingga ada di antara kami seperti mahu putus asa. Mujur, kami bukannya rakan kongsi bisnes sahaja tetapi juga kami terikat dengan pertalian darah sebagai adik-beradik.

"Jika ada di antara kami bertiga yang menghadapi masalah dan seperti mahu berputus asa, kami akan saling menyokong. Itu antara formula kenapa KRU kekal bertahan sehingga ke hari ini," ujar Norman lagi.

Bersyukur dengan apa yang dimiliki KRU hari ini, ketiga-tiga mereka tidak menunjukkan tanda-tanda untuk memperlahankan kemaraan mereka dalam bidang bisnes mahupun gelaran mereka sebagai penyanyi.

"Kami baru bermula, banyak lagi perkara yang kami rancangkan belum dilaksanakan lagi. Mungkin sekarang bisnes ini milik kami bertiga tetapi untuk membesarkan lagi perniagaan kami harus menarik pelabur daripada luar.

"Walaupun pada masa depan, empayar perniagaan kami mungkin tidak lagi diuruskan oleh kami atau ahli keluarga, kami tetap berbangga jika jenama KRU terus kekal bukan sahaja di Malaysia tetapi di peringkat global. Kejayaan yang kami peroleh hari ini tidak akan melalaikan kami kerana impian kami mahu menjadi seperti Warner Bros.

"Cuma kini, orang lihat kami seperti tidak aktif, sebenarnya kami semua sibuk dengan kerja masing-masing, Saya sibuk dengan muzik, Yusry dengan filem dan Norman dengan bisnes. KRU masih menyanyi dan keluarkan lagu-lagu baharu tetapi kami sudah bersara daripada buat persembahan pentas," kata Edry sambil dipersetujui oleh Norman dan Yusry.

Bukan tidak mahu membuat persembahan pentas, tetapi kesibukan kerja membataskan mereka untuk melakukan sebuah persembahan pentas seperti zaman kegemilangan mereka.

"Tugas penyanyi menghiburkan orang, dulu peminat boleh jumpa kami di tapak pesta atau karnival, kini mereka boleh dengar lagu-lagu kami hanya di radio atau televisyen menerusi video muzik sahaja.

"Orang ramai tidak tahu, persembahan pentas untuk sebuah mini konsert nampak ringkas tetapi persediaannya mengambil masa berbulan-bulan. Kami harus berlatih dan memantapkan kembali stamina dan itu mengambil masa yang cukup banyak, itu yang kami tidak boleh beri komitmen," jawab Norman.

Justeru itu, fokus kini diberi kepada tugas belakang tabir. KRU menyasarkan untuk menerbitkan enam buah filem serta 18 buah lagu single sehingga penghujung 2012 dengan perolehan kumpulan syarikat melebihi RM30 juta.


Lisa Surihani bukan sahaja bercinta dengan Yusry tetapi turut terbabit dalam filem terbitan KRU, Ular.

Selepas menghasilkan filem Magika dan filem epik, Hikayat Merong Mahawangsa yang menelan modal RM8 juta, terkini KRU bakal menembus pasaran antarabangsa dengan dua buah filem iaitu filem aksi pengembaraan, Vikingdom yang mempertaruhkan pelakon Hollywood, Dominic Purcell yang popular dengan drama bersiri Prison Break dan filem Mission Impossible 2 serta sebuah filem animasi komedi berjudul Ribbit.

"Filem Vikingdom diarahkan oleh Yusry dan dibikin untuk pasaran antarabangsa. Filem ini menelan kos yang tinggi kerana menggunakan pelakon Hollywood. Apa yang boleh saya katakan setakat ini kos filem Vikingdom lebih daripada RM8 juta," dedah Norman.

Selain itu, KRU yang kini berbangga dengan pencapaian filem Karak yang kini masih ditayangkan di pawagam apabila berjaya mengutip RM3.61 juta sejak ia mula ditayangkan pada 26 Mei lalu.

KRU juga bakal muncul dengan filem Cinta Kura-Kura yang akan ditayangkan dalam masa terdekat, filem King Kapchai, Ular dan sebuah filem epik drama muzikal sentuhan Edry yang berjudul 29 Februari.

"Filem 29 Februari sungguh unik dan agak mencabar kerana saya perlu menggambarkan situasi Kuala Lumpur bermula tahun 1886 sehingga ke zaman moden hari ini kerana watak utamanya yang dilakonkan oleh pelakon Remy Ishak itu lambat tua.

"Dia menjadi saksi zaman penjajah di Malaysia dan sehingga Malaysia merdeka dan berjaya seperti hari ini. Sebenarnya ia kisah pencarian cinta yang tidak berkesudahan," kata Edry.

No comments:

Post a Comment